Pengunjung dapat melihat beberapa spesies hidupan laut yang diawet Jabatan Muzium Labuan
LABUAN: Program Singgah Santai @ Muzium Chimney anjuran Muzium Chimney Jabatan Muzium Malaysia yang diadakan pagi tadi bertujuan untuk mengenali adat budaya dan tradisi masyarakat setempat serta muzium – muzium di Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut satu kenyataan Muzium Chimney, Penganjuran itu juga sebagai salah satu platform penting untuk memartabatkan aktiviti permuziuman ke arah merangsang sektor pelancongan di Labuan melalui jalinan kerjasama strategik pelbagai organisasi, anggota kepimpinan masyarakat sekaligus membuka potensi kerjasama serantau yang lebih luas.
“Antara tarikan utama program ini adalah acara terbuka seperti “Radio Rosak”, acara “Gula-Gula Tepung”, Sukaneka Rakyat terbuka kepada pengunjung, Program ‘Take A Hike dan Train of Trainers’ dan pelbagai acara lain yang selari dengan Agenda Malaysia MADANI dalam membentuk masyarakat yang aktif, beridentiti dan bersemangat kepimpinan,”menurut kenyataan itu.
Sementara itu, seorang pengunjung Razman Mumin, 36 turut memuji inisiatif yang diambil Muzium Chimney untuk mengadakan hari terbuka kepada masyarakat setempat.
“Program ini amat baik sekali bagi menggalakkan orang ramai membawa ahli keluarga datang ke muzium terutama apabila ada acara-acara menarik untuk disertai seisi keluarga pada cuti hujung minggu,”katanya.
Bagi seorang belia Ahmad Dzulfikar Jaiman, 15 merasa kunjungannya ke Muzium Chimney kali ini amat berbaloi.
“Saya datang dari Kundasang Sabah dan kebetulan datang ke program ini dan saya dapati banyak yang saya boleh pelajari pada program ini melalui pelbagai pengisian yang dibuat.
“Saya harap program ini boleh diteruskan kerana masyarakat dapat belajar banyak perkara baharu berkaitan Labuan melalui acara seperti ini,”jelasnya lagi.


































