WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melaporkan pendapatan berjumlah ratusan juta dolar hasil daripada pelaburan kripto, kelab golf dan usaha pelesenan, menurut laporan pendedahan kewangan awam yang dikeluarkan kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, laporan itu turut mendedahkan skala luas pegangan perniagaan Trump sepanjang tahun 2024.
Borang pendedahan kewangan tahunan tersebut, yang merangkumi tahun kalendar 2024, menunjukkan penglibatan Trump dalam mata wang kripto menyumbang besar kepada kekayaannya, selain bayaran besar daripada projek pembangunan serta hasil perniagaan lain.
Walaupun Trump menyerahkan pengurusan perniagaan kepada anak-anaknya, laporan itu mendedahkan beliau masih menerima hasil daripadanya, dengan situasi yang menimbulkan kebimbangan berhubung konflik kepentingan.
Beberapa perniagaan beliau, seperti dalam sektor kripto, turut mendapat manfaat daripada perubahan dasar kerajaan AS di bawah pentadbirannya, sekali gus mengundang kritikan.
Setakat ini, Rumah Putih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung laporan kewangan tersebut.
Laporan pendedahan kewangan itu ditandatangani pada 13 Jun, namun butiran berkaitan pelaburan kripto serta maklumat lain menunjukkan ia merangkumi sehingga akhir Disember 2024, sekali gus tidak termasuk sebahagian besar dana yang dikumpulkan keluarga Trump melalui usaha niaga kripto mereka.
Satu mata wang meme yang diperkenalkan awal tahun ini dikenali sebagai $TRUMP dilaporkan menjana anggaran pendapatan sebanyak AS$320 juta (RM1.3 billion) dalam bentuk yuran, walaupun bagaimana hasil itu dibahagikan antara entiti milik Trump dan rakan kongsi yang tidak didedahkan secara terbuka.
Selain daripada hasil mata wang meme, keluarga Trump juga meraih lebih AS$400 juta (RM1.7 bilion) daripada World Liberty Financial, sebuah syarikat kewangan terdesentralisasi (DeFi).
Mereka turut terlibat dalam operasi perlombongan Bitcoin serta dana dagangan bursa (ETF) aset digital.
Dalam laporan itu, Trump dilaporkan menerima AS$57.35 juta (RM243 juta) daripada jualan token di World Liberty selain menyatakan pemilikan sebanyak 15.75 bilion token tadbir urus dalam syarikat tersebut.
























