AUSTIN: Gelombang protes yang tercetus di Los Angeles susulan serbuan imigresen oleh pihak berkuasa merebak ke seluruh negara, dengan lebih banyak demonstrasi dirancang menjelang hujung minggu ini hingga mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggerakkan anggota Pengawal Kebangsaan dan Marin.
Menurut Utusan Malaysia, dari Seattle ke Austin dan Washington DC, penunjuk perasaan berarak sambil melaungkan slogan, membawa sepanduk menentang agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), serta menyebabkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar dan kawasan sekitar pejabat persekutuan.
Walaupun kebanyakan perhimpunan berlangsung secara aman, beberapa insiden menyaksikan pertembungan dengan pihak berkuasa apabila tangkapan dilakukan dan pemedih mata digunakan untuk menyuraikan orang ramai.
Aktivis kini merancang protes lebih besar dalam beberapa hari akan datang, termasuk acara yang dinamakan ‘No Kings’ di seluruh negara pada Sabtu, bertepatan dengan perarakan tentera yang dirancang oleh Trump di Washington.
Pentadbiran Trump menyatakan program serbuan dan pengusiran akan diteruskan walaupun berdepan bantahan meluas.
“ICE akan terus menguatkuasakan undang-undang,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem dalam satu hantaran media sosial pada Selasa.
Di Austin, empat anggota polis cedera manakala pihak berkuasa menggunakan pemedih mata bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan pada malam Isnin. Demonstrasi itu bermula di bangunan Capitol negeri dan berarak ke bangunan persekutuan yang menempatkan pejabat ICE.
Ratusan orang menyertai protes di atas sebuah jambatan di Dallas pada malam Isnin yang berlangsung selama beberapa jam sebelum polis mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai ‘perhimpunan haram’.
Sekitar 50 orang berhimpun di luar mahkamah imigresen di pusat bandar Seattle pada Selasa sambil memegang sepanduk bertulis ‘Bebaskan Mereka Semua; Bubarkan ICE’ dan ‘Tolak Pengusiran’.
Protes bermula secara aman namun bertukar tegang apabila penunjuk perasaan meletakkan skuter untuk menghalang pintu masuk bangunan sebelum polis tiba.
Di Santa Ana, berhampiran Los Angeles kenderaan perisai digunakan bagi menutup laluan menuju ke Civic Center pada pagi Selasa.
Ratusan orang berkumpul di City Hall Plaza, Boston membantah penahanan pemimpin kesatuan sekerja David Huerta dalam serbuan imigresen pada Jumaat lalu selain mendesak pembebasan beliau.