Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) dan logo yang sama tahun sebelumnya dikekalkan hingga 2027.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2025 berkata, konsep Malaysia Madani menekankan prinsip pembangunan yang menyeluruh dan seimbang.
“Ia membabitkan keseimbangan antara kemajuan material dan pembangunan rohani, merangkumi aspek kemajuan ekonomi, integriti pentadbiran dan perpaduan masyarakat.
“Penekanan pada tema ‘Rakyat Disantuni’ pula menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberikan perhatian utama,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini semalam.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, sambutan Bulan Kebangsaan akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 pada 27 Julai di Johor.
“Kemudian, diikuti dengan Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos 2025 di Putrajaya, seterusnya Sambutan Hari Malaysia 2025 akan diraikan di Pulau Pinang pada 16 September 2025.
“Selain itu, sepanjang Bulan Kebangsaan, pelbagai pengisian program dan aktiviti akan diadakan bagi menggelorakan semangat cintakan negara, antaranya Quran Hour, Kira Detik Merdeka, 1Rumah 1Jalur Gemilang, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku, PENTARAMA Merdeka@, Wayang Pacak Merdeka, RIUH Merdeka dan pelbagai lagi,” katanya.
Katanya, portal rasmi Merdeka360 (www.merdeka360.my/web/) yang merupakan salah satu inisiatif mempromosikan HKHM 2025 telah diberikan suntikan baharu.
“Ia membabitkan penambahan menu ‘Kalendar Acara’ yang memaparkan senarai program dan aktiviti HKHM 2025 di peringkat nasional, kementerian, negeri dan daerah.
“Maklumat lanjut berkenaan HKHM 2025 termasuk panduan penggunaan logo rasmi juga boleh dirujuk di portal ini,” katanya.