Keadaan Perodua Bezza yang merempuh motosikal dinaiki dua remaja perempuan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di Temerloh, Pahang.
TEMERLOH: Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dari arah belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di sini, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang mangsa bersama seorang pembonceng serta sebuah kereta Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 38 tahun dari Kepong, Kuala Lumpur.
“Ketika kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai berhenti di lampu isyarat merah. Sebuah kereta dari arah yang sama gagal berhenti lalu melanggar bahagian belakang motosikal.
“Pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mazlan, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan awal air kencing mendapati individu terbabit negatif dadah.
Katanya, siasatan lanjut mendapati terdapat bahan disyaki dadah dalam kenderaan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 50.85 gram syabu dan 0.85 gram heroin di bahagian tempat duduk belakang, serta wang tunai berjumlah RM500 yang disita sebagai barang kes.
“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala nahas kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.