Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghidupkan kembali perang perdagangan selepas mengancam mengenakan tarif sebanyak 50 peratus terhadap Kesatuan Eropah (EU).
Menurut Utusan Malaysia, Trump turut mengancam semua pengeluar telefon pintar, termasuk Apple dengan tarif baharu sebanyak 25 peratus sekiranya mereka gagal memindahkan pengeluaran ke AS yang dijangka berkuat kuasa penghujung Jun ini.
Pasaran saham global merosot susulan kenyataan tersebut ekoran kebimbangan terhadap gangguan ekonomi global, meskipun ketegangan perdagangan sebelum ini reda selepas Trump mencapai perjanjian dengan China dan Britain.
Trump mula membangkitkan isu tarif terhadap Kesatuan Eropah (EU) menerusi satu hantaran pagi di platform media sosialnya, Truth Social.
“Perbincangan kami dengan mereka tidak ke mana-mana! Oleh itu, saya mencadangkan tarif terus sebanyak 50 peratus ke atas EU bermula 1 Jun 2025,” katanya.
Di Pejabat Oval, beliau sekali lagi menegaskan tiada apa yang mampu dilakukan oleh blok 27 negara itu untuk mengubah pendiriannya.
“Saya tidak mencari perjanjian. Kita sudah tetapkan ia 50 peratus. Mereka tidak melayan negara kita dengan betul,” katanya.
Beliau turut menafikan tarif itu akan menjejaskan perniagaan AS, sebaliknya mendakwa ia akan lebih banyak membantu mereka.
Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic berkata, blok itu komited untuk mencapai perjanjian perdagangan berdasarkan penghormatan, bukan ugutan.
Beliau menyatakan demikian selepas panggilan bersama Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer dan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick.
Rundingan dengan EU kini tergendala dan Brussels mengancam untuk mengenakan tarif balas ke atas barangan AS bernilai hampir 100 bilion euro (RM572.93 bilion) jika Washington kekal dengan keputusannya.


































