Masiung (tiga dari kanan) melaungkan ‘Hidup GRS’ bersama lebih 700 penyokong yang hadir pada majlis itu.
TONGOD: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah membayangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding sekurang-kurangnya 52 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
“Berdasarkan sentimen kuat rakyat Sabah terhadap parti tempatan menjelang PRN kali ini, saya menjangkakan kita bakal bertanding 52 kerusi, sekiranya Pengerusi GRS bersetuju dengan cadangan ini.
“Selebihnya, sebanyak 21 kerusi akan diagihkan kepada parti-parti nasional yang bersedia menjalinkan kerjasama dengan GRS,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada lebih 700 hadirin pada siri Jelajah GRS di Kampung Mananam, di sini kelmarin.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut yakin calon-calon parti tempatan dalam GRS mampu menjadi pertaruhan dominan, sekali gus menyingkirkan pembangkang yang sebelum ini ditolak rakyat ketika menerajui kerajaan negeri.
Beliau menegaskan, GRS kini lebih berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti lain berikutan peristiwa cubaan menjatuhkan kerajaan negeri melalui ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.
Menurutnya, hubungan kerjasama politik dan pentadbiran antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini berjalan dengan baik dan boleh dikekalkan.
“Saya percaya, jika kesepakatan antara GRS dan PH diteruskan dalam menghadapi PRN-17, gabungan ini diyakini mampu sekali lagi membentuk Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Terdahulu, ketibaan Masiung disambut meriah oleh masyarakat etnik Orang Sungai Making di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mananam, sambil diiringi lebih 30 motosikal membawa bendera GRS.
Majlis jelajah itu turut dihadiri semua Ketua-ketua Bahagian parti komponen GRS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut.


































