KOTA KINABALU: Dua terkorban dalam satu insiden kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Pulau Penampang, Manggatal, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 5.15 pagi itu mengorbankan seorang wanita warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan, masing-masing ibu mertua dan cucu kepada pengadu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ketika kejadian, pengadu sedang berehat di kaki lima rumah sebelum terdengar bunyi letupan dari arah dapur.
“Pengadu menyedari bahagian dapur rumah mula terbakar dan cuba memadamkan api bersama ahli keluarga, namun api marak terlalu pantas,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Menurutnya, dua mangsa terbabit dipercayai terperangkap dalam salah satu bilik di rumah tersebut.
“Keluarga pengadu segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan dan pasukan bomba serta polis segera bergegas ke lokasi kejadian.
“Selepas kebakaran berjaya dikawal, pihak hospital mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang wanita warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala empat lagi penghuni lain berjaya menyelamatkan diri.
Kasim berkata, rumah tersebut dihuni seramai enam orang terdiri daripada seorang lelaki dan lima perempuan.
“Hasil siasatan awal pihak bomba mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di bahagian dapur. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta kematian,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.
Menurut beliau, polis akan meneruskan siasatan terperinci termasuk merakam percakapan pengadu serta beberapa saksi yang berkaitan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan di kediaman masing-masing, terutamanya berkaitan sistem pendawaian dan penggunaan peralatan elektrik.
“Pastikan semua peralatan elektrik ditutup apabila tidak digunakan, elakkan penggunaan soket secara berlebihan dan lakukan pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian rumah.
“Sediakan juga peralatan keselamatan seperti alat pemadam api dan rancang laluan keluar kecemasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Tindakan awal serta kesedaran mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda,” katanya.

































