JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menerima sebanyak 130 laporan berkaitan kes penipuan melibatkan sebuah syarikat penjagaan kesihatan, 38 Speed Relax & Wellness.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, laporan polis itu diterima pihaknya sejak awal bulan ini membabitkan kerugian hampir RM700,000.
“Kita sahkan ada menerima laporan daripada mangsa-mangsa yang mendakwa ditipu oleh syarikat penjagaan kesihatan itu.
“Setakat ini, sebanyak 130 laporan polis diterima di Kontinjen Johor sejak awal Mei ini dengan 2025 jumlah kerugian dilaporkan sebanyak RM698,155.67,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Semalam, Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Pemuda MCA melaporkan 1,000 pelanggan pusat penjagaan kesihatan itu mendakwa ditipu apabila pakej urut yang dilanggan mereka tidak dapat digunakan setelah premis itu menghentikan operasi tanpa notis menyebabkan pelanggan terbabit menuntut pampasan atas bayaran penuh yang telah dibuat.
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Pemuda MCA, Heng Zhi Li dilaporkan berkata, ada pelanggan yang menandatangani pakej antara RM2,400 hingga RM10,000 dengan bayaran bulanan antara RM288 hingga RM388 dan kebanyakan mangsa tertarik dengan pakej ditawarkan kerana tidak mempunyai tarikh luput dan boleh dikongsi dengan pengguna lain.
Menurut Kumar, siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan pakej rawatan pada kadar bayaran bergantung dengan bilangan rawatan yang dipilih dan boleh dibuat di mana-mana cawangan di seluruh negara pada bila-bila masa.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi syarikat berkenaan untuk menetapkan tarikh temujanji. Mangsa mendapati syarikat berkenaan telah pun menghentikan operasinya di semua cawangan tanpa sebarang pemakluman,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.