TOKYO: Penggunaan telefon bimbit ketika menunggang basikal dan mengabaikan lampu isyarat antara kesalahan kecil dikenakan denda di bawah pindaan undang-undang jalan raya di Jepun, yang akan berkuat kuasa mulai April tahun depan.
Menurut Utusan Malaysia, bermula 1 April 2026, polis boleh mengeluarkan tiket biru kepada penunggang basikal berusia 16 tahun ke atas – yang mengecualikan pesalah daripada didakwa jika membayar denda – untuk lebih daripada 100 pelanggaran.
Langkah itu selaras dengan usaha Jepun untuk membanteras penunggang basikal yang melanggar peraturan jalan raya.
Setakat ini, penunggang basikal hanya akan dikenakan tiket merah untuk kira-kira 20 kesalahan serius, termasuk menunggang dalam keadaan mabuk.
Tiket merah memerlukan siasatan yang boleh membawa kepada prosiding jenayah, sekali gus membebankan pihak polis dan pesalah.
Manakala, tiket biru dijangka dikeluarkan apabila penunggang basikal tidak mematuhi arahan polis atau menyebabkan bahaya kepada lalu lintas jalan raya.
Kadar denda tiket biru ditetapkan pada 12,000 yen (RM365) kerana menggunakan telefon bimbit, 6,000 yen (RM182) untuk kesalahan mengabaikan lampu isyarat, 5,000 yen (RM152) menunggang sambil memegang payung atau ‘headphone’ dan 3,000 yen bagi menunggang dengan pembonceng.
Pindaan undang-undang itu juga mewajibkan penunggang basikal untuk kekal di laluan kiri, manakala kenderaan pula perlu memotong dengan kelajuan yang selamat.