Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan dakwaan pihak pembangkang berhubung peningkatan pinjaman Kerajaan Negeri Sabah daripada Kerajaan Persekutuan sebagai satu bentuk manipulasi politik yang dangkal dan berniat menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan sedia ada.
Menurutnya, hantaran yang dimuat naik oleh laman pro-pembangkang, Mawar Channel, yang memetik Hansard soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, YB Assaffal P. Alian, telah dimanipulasi untuk menggambarkan seolah-olah Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor gagal mengurus kewangan negeri.
“Peningkatan pinjaman tidak seharusnya disamakan dengan kegagalan pengurusan kewangan. Malah dalam konteks ekonomi moden, ia boleh menjadi strategi kewangan yang berhemah sekiranya digunakan untuk pembangunan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Jelas beliau, pinjaman yang disebut oleh Menteri Kewangan Sabah di dalam Dewan Undangan Negeri baru-baru ini merupakan ‘Good Debt’ atau hutang baik, iaitu pinjaman yang disalurkan bagi mempercepat pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi negeri.
“Pinjaman ini tidak disalah guna seperti yang didakwa. Ia telah melalui proses perancangan rapi dan digunakan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan untuk rakyat. Setiap perbelanjaan ini turut diaudit secara tahunan oleh Jabatan Audit Negara,” tambahnya.
Aksyah berkata, tohmahan kononnya pinjaman tersebut membebankan negeri adalah cerminan kepada kefahaman cetek pembangkang terhadap pengurusan fiskal dan dasar ekonomi pembangunan.
“Sekiranya Kerajaan Negeri tidak diyakini berkeupayaan membayar balik pinjaman, Kerajaan Persekutuan pastinya tidak akan menyalurkan kemudahan tersebut. Tawaran pinjaman itu sendiri adalah isyarat kepercayaan terhadap rekod cemerlang pentadbiran negeri di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri,” katanya.
Beliau turut menempelak kenyataan sesetengah pihak pembangkang yang memperlekeh pencapaian negeri dalam memperoleh hasil berjumlah berbillion ringgit, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan berbaur iri hati.
“Ketika mereka mentadbir, hasil negeri tidak pernah mencapai tahap seperti sekarang. Malangnya, kini mereka cuba memperlekeh kejayaan ini dengan sindiran-sindiran sinis yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
Tambahnya, hasil negeri yang meningkat digunakan untuk memperkukuh aliran tunai kerajaan, merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta membiayai projek pembangunan merangkumi sektor infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Jika hasil negeri diumpamakan seperti aliran tunai keluarga, maka kestabilan aliran tunai yang kukuh menggambarkan kecekapan dan keupayaan kerajaan mengurus kewangan negeri secara berhemah,” tegas beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa pinjaman bukan sahaja digunakan untuk keperluan semasa, tetapi juga sebagai pelaburan strategik jangka panjang dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Dalam kenyataan itu, beliau turut menyelar pendekatan pembangkang yang disifatkan sering memutar belit fakta dan memainkan sentimen negatif untuk meraih sokongan politik.
“Kerajaan hari ini telah membuktikan keupayaan mengurus negeri dengan baik serta berjaya membawa Sabah keluar daripada tekanan ekonomi akibat kelemahan pentadbiran terdahulu,” ujarnya.
Aksyah turut menegaskan bahawa membayar hutang adalah tindakan baik, namun berhutang untuk pembangunan dan peningkatan kapasiti negeri bukanlah satu kesalahan, malah satu strategi pengukuhan ekonomi yang berasaskan rasional.
“Dengan hasil negeri yang diunjurkan mencecah RM7 bilion tahun ini, tidak timbul isu ketidakmampuan membayar semula pinjaman. Apa yang penting ialah kebijaksanaan merancang dan melaksanakan dasar pembangunan secara lestari,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang dilihat lebih menjurus kepada serangan politik peribadi daripada menawarkan solusi berasas kepada pembangunan negeri.
“Tanggungjawab kita adalah membina negeri, bukan meruntuhkan keyakinan rakyat dengan fitnah dan tuduhan melulu,” tegasnya.
































