James Ratib
KOTA KINABALU: Perancangan untuk menubuhkan Hospital Nabawan telah dimasukkan dalam Pelan Induk Perancangan Fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2023-2045.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, pelaksanaan projek itu dijadualkan dalam Rancangan Malaysia Ke-17 (RMK17).
Buat masa ini, katanya, perkhidmatan rawatan bagi pesakit di daerah Nabawan disediakan melalui Klinik Kesihatan Nabawan sedia ada, iaitu sebuah Klinik Jenis 4 yang berperanan sebagai pusat rujukan utama bagi klinik-klinik di sekitar daerah tersebut.
“Pada tahun 2019, skop perkhidmatan Klinik Kesihatan Nabawan telah diperluaskan dengan penambahan Unit Hemodialisis, selain daripada Perkhidmatan Pesakit Luar (OPD), Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Perkhidmatan Kecemasan, Perkhidmatan Radiologi (X-ray), Perkhidmatan Makmal Kesihatan Primer, Perkhidmatan Farmasi, Perkhidmatan Pemakanan dan Perkhidmatan Jurupulih Perubatan.
“Bagi memastikan perkhidmatan rawatan yang konsisten, sistem kerja syif telah diperkenalkan di Unit Kecemasan dan Ruang Pemantauan Pesakit sejak tahun 2017 bagi membolehkan perkhidmatan disediakan 24 jam sehari.
“Sistem ini dilaksanakan bagi memudahkan penduduk Nabawan mendapatkan rawatan kecemasan pada bila-bila masa,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) yang mencadangkan supaya Klinik Kesihatan Nabawan dinaik taraf kepada hospital, memandangkan peningkatan populasi di daerah itu.
Abdul Ghani berkata, jarak ke hospital berdekatan adalah jauh, selain kawasan sekitarnya mempunyai jumlah penduduk yang ramai dan padat.
James menjawab, pesakit dari Nabawan akan dirujuk ke Hospital Keningau sekiranya memerlukan rawatan pakar.


































