GEORGE TOWN : Anggota polis berpangkat koperal yang dipercayai tertembak diri sendiri di bahagian kepala dengan sepucuk pistol dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Rabu akhirnya disahkan meninggal dunia.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dimaklumkan menerusi satu status terkini yang dimuat naik ke dalam laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang semalam.
“Dimaklumkan bahawa Koperal A. Francis dari Kem Komandan, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah disahkan meninggal dunia pada 10 April 2025, pukul 5.12 petang di General Intensive Care Unit (GICU), Hospital Pulau Pinang.
“Mendiang sebelum ini telah mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat insiden tertembak diri sendiri pada 8 April lalu,” katanya di sini, kelmarin.
Makluman rasmi itu turut menyebut bahawa Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad serta seluruh warga kerja PDRM Pulau Pinang mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.
“Semoga mereka tabah menghadapi segala ujian dan ketentuan ini serta dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, koperal berusia 58 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat tertembak dirinya sendiri dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang di bilik kawalan IPK Pulau Pinang itu.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut selepas dilaporkan berada dalam keadaan parah susulan kejadian terbabit.


































