KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kini giat merangka hala tuju strategik pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan tumpuan khusus terhadap bidang-bidang keutamaan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, semua kementerian, jabatan dan agensi negeri diseru agar mengambil langkah proaktif dalam merancang pembangunan sejajar dengan hala tuju yang ditetapkan.
“Saya menggesa agar keperluan sebenar negeri Sabah diberi keutamaan dan segala perancangan pembangunan dilaksanakan secara strategik dan inklusif,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan pada pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Tun Musa turut menekankan kepentingan perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi berbanding perbelanjaan mengurus dalam memastikan kelancaran pelaksanaan hala tuju RMK13.
“Dengan pengurusan kewangan negeri yang lebih teratur dan efisien, matlamat pembangunan ekonomi negeri dapat dicapai dengan lebih pantas dan mampan,” tambah beliau.
Dalam aspek kewangan negeri, Tun Musa memuji pencapaian kutipan hasil negeri yang mencecah RM6.842 bilion pada tahun 2024, mengekalkan rekod kutipan melebihi paras RM6 bilion.
“Saya merakamkan ucapan syabas kepada Ketua Menteri Sabah dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan kutipan hasil yang cemerlang ini,” katanya.
Kerajaan Negeri juga mengambil langkah mempelbagaikan sumber hasil dengan mengenakan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas tiga produk baharu termasuk pasir silika, biojisim kelapa sawit, serta emas dan perak.
Tun Musa turut menekankan pentingnya integriti dalam tadbir urus kewangan negeri, yang terbukti melalui pengiktirafan tanpa teguran oleh Ketua Audit Negara selama 22 tahun berturut-turut.
“Langkah penambahbaikan prosedur, termasuk dalam tatacara perolehan dan pelantikan konsesi, menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh ketelusan,” ujar beliau.
Kerajaan juga memberi perhatian serius terhadap pembangunan wilayah yang seimbang, antaranya menerusi kejayaan Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar yang telah membantu lebih 22,000 Ketua Isi Rumah.
Dalam usaha menyediakan perumahan kepada golongan miskin luar bandar, program Rumah Mesra SMJ ditambah baik dengan 40 unit rumah dibina di setiap kawasan DUN pada tahun ini.
Tun Musa turut menyentuh kemajuan dalam penyediaan bekalan elektrik luar bandar melalui SE-RAMP 2040, serta manfaat besar melalui program BALBA dan BELBA yang menyediakan bekalan air dan elektrik kepada ribuan penduduk pedalaman.
“Kita juga menyaksikan kejayaan eksport nanas MD2 sebanyak 15 tan hasil projek Inisiatif Pendapatan Rakyat, yang memberi manfaat kepada lebih 400 pekebun kecil,” katanya.
Dalam aspek kesejahteraan sosial, penubuhan Pusat Autisme Sabah dan sokongan berterusan kepada NGO kebajikan terus diperhebat bagi memastikan tiada golongan terpinggir.
Tun Musa menegaskan komitmen Sabah terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan Sabah Biodiversity Strategy dan Sabah Biotechnology Action Blueprint bagi dekad akan datang.
“Usaha ini menunjukkan Sabah serius memelihara biodiversiti dan pada masa sama menjana pertumbuhan ekonomi melalui inovasi bioteknologi,” katanya.
Sabah juga menyasarkan pewartaan 30 peratus kawasan negeri sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya menjelang akhir 2025, dengan usaha berterusan untuk mewartakan baki 211,000 hektar.
Sebagai respons terhadap perubahan iklim, Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif mitigasi serta menggubal Enakmen Perubahan Iklim yang bakal memperkukuh perundangan hijau di negeri ini.
Tun Musa menyambut baik pendigitalan sistem pentadbiran tanah dan penyediaan hak milik Tanah Anak Negeri, termasuk pewartaan 82 kawasan perkampungan pada tahun 2024.
“Sasaran 2025 ialah mengukur sekurang-kurangnya 7,500 lot tanah dengan keluasan 15,000 hektar serta mewartakan 80 lagi kawasan perkampungan Anak Negeri,” katanya.
Dengan perancangan yang menyeluruh dan pelaksanaan yang strategik, Tun Musa yakin Sabah berada di landasan tepat menuju pembangunan yang inklusif, seimbang dan lestari.


































