Keadaan kenderaan terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Lima individu dilaporkan cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan, iaitu sebuah Isuzu Dmax dan sebuah Proton Saga di Jalan Batu 9, di sini, lewat malam tadi.
Mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang menaiki Proton Saga, serta empat penumpang Isuzu Dmax iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun dan tiga remaja perempuan masing-masing berumur 16 tahun.
Kesemua mangsa mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.
Pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal sebelum menghantar kesemua mangsa ke Hospital Sandakan untuk rawatan lanjut.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan yang diketuai oleh PBK I KUP Chauslin Sunsubin bersama tujuh anggota tiba di lokasi pada jam 11.29 malam, kira-kira 17 minit selepas menerima panggilan kecemasan melalui MERS999. Jarak ke lokasi adalah sejauh 11 kilometer.
Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memastikan kawasan kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.22 tengah malam.


































