Hajiji beramah mesra dengan para pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025M/1446H.
KOTA KINABALU: Kira-kira 20,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025M/1446H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr) Musa Haji Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Haji Tussin.

Majlis itu dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan
isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag yang turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf daripada sembilan buah institusi kebajikan sekitar kawasan pantai barat.
Dalam ucapannya semasa beramah mesra dengan para pengunjung, Hajiji mengajak rakyat berbilang kaum menggunakan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai platform untuk mengeratkan lagi perpaduan dan persefahaman.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M.Yahya, Timbalan-timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya serta menteri-menteri kabinet negeri.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025 diserikan dengan persembahan tarian dan nyanyian.

Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai juadah Raya termasuk hidangan tradisi lemang, ketupat dan sate serta pelbagai jenis kuih-muih.


































