Masiung (dua dari kanan) bersama Hajiji menyampaikan bantuan Rumah Mesra SMJ pada majlis Iftar Ramadan itu.
KINABATANGAN: Perubahan landskap politik dijangka berlaku di kawasan tradisi UMNO, iaitu Sukau dan Lamag, selepas Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membentuk jajaran baharu yang semakin kukuh.
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, berkata parti tempatan itu akan menampilkan calon terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 bagi merebut kerusi di kedua-dua kawasan tersebut.
“Berdasarkan sambutan luar biasa semasa dua siri lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ke Sukau, jelas menunjukkan bahawa parti ini semakin popular dan mendapat sokongan majoriti masyarakat akar umbi,” katanya kepada media ketika mengiringi Hajiji dalam majlis Iftar Ramadan di Masjid Tun Juhar, yang dihadiri lebih 3,000 penduduk Sukau dan Lamag.
Menurutnya, dalam majlis Himpunan Gagasan Rakyat Sukau/Lamag pada Julai 2023, Hajiji turut menerima sambutan lebih 7,000 rakyat di Dataran Sukau, membuktikan keyakinan penduduk terhadap parti itu semakin meningkat.
“Gagasan Rakyat adalah parti tempatan dan kami yakin dapat meraih sokongan besar untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau dan Lamag.
“Landskap politik di kedua-dua DUN ini mengalami perubahan ketara kebelakangan ini. Gagasan Rakyat, bersama parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan dalam PRN akan datang.
“Kami di pihak kerajaan sentiasa menunaikan janji, berbeza dengan pembangkang yang hanya pandai mencipta cerita dan menabur janji kosong. Mereka juga kerap mencetuskan isu untuk menimbulkan kebencian terhadap pemimpin kerajaan,” katanya.
Masiung, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, menegaskan bahawa Ketua Menteri sebelum ini telah memberi jaminan untuk memberi perhatian khusus kepada pembangunan Sukau dan Lamag.
“Langkah menubuhkan Pejabat Daerah Kecil Sukau telah direalisasikan pada 15 Februari lalu, selain pembinaan dewan baharu di Sukau dengan peruntukan sebanyak RM3 juta,” katanya.
Dalam majlis berbuka puasa itu, Hajiji turut mengumumkan usaha menambah baik Masjid Tun Juhar. Sehubungan itu, Pejabat Daerah Kecil Sukau dan Jawatankuasa Masjid telah diarahkan untuk mengemukakan spesifikasi kerja secepat mungkin.




























