Harun Ismail
KOTA KINABALU: Datuk Harun Ismail dilantik sebagai Ahli CEO@Faculty Programme Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026.
Beliau, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), menerima surat pelantikan tersebut pada 11 Mac lalu daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
“Tahniah atas pelantikan ini. Saya yakin bahawa pengalaman dan kepakaran Datuk Harun akan memperkukuh jalinan kolaborasi antara industri dan pendidikan tinggi, sekali gus membantu mencapai objektif program ini,” kata Zambry dalam surat pelantikan berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Harun menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan besar daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia serta satu kepercayaan terhadap pengalaman dan kepakarannya sepanjang kerjaya.
“Ini merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu saya laksanakan. Saya berbesar hati dapat berkongsi pengalaman dengan UMS dalam industri minyak dan gas di Sabah.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan mereka dalam mencalonkan saya sebagai Ahli CEO@Faculty Programme di UMS,” katanya.
Harun turut menyatakan bahawa beliau menerima pelantikan ini dengan penuh rasa bangga dan berharap dapat terus menyumbang kepada negeri serta rakyat Sabah, selain membantu memperkasakan UMS sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul.




























