Hajiji bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif dan jemputan lain bergambar bersama para penerima Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa pengumuman berkaitan projek pembangunan yang dibuat Kerajaan, termasuk yang terkini, bukan bertujuan meraih sokongan politik tetapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat.
“Ini bukan sekadar strategi politik, tetapi inisiatif Kerajaan. Pemimpin pembangkang sering membangkitkan isu tanpa sebarang cadangan membina. Jika Kerajaan mengumumkan projek, mereka marah. Jika tidak diumumkan, mereka tetap marah. Jadi, apa sebenarnya yang mereka mahukan?” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, di sini, hari ini.
Beliau menjawab dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan Kerajaan sering mengumumkan projek kebelakangan ini sebagai langkah untuk menarik undi.
Hajiji berkata, Kerajaan bertanggungjawab dalam melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, termasuk menangani isu-isu utama seperti bekalan air dan elektrik yang sering menjadi perhatian.
“Kerajaan sentiasa mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan rakyat. Jika ada langkah yang boleh diumumkan, kita akan umumkan. Kita bukan sekadar bercakap kosong. Sebaliknya, pihak yang hanya beretorik tanpa tindakan adalah mereka (pembangkang),” tegasnya.


































