KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, rundingan mengenai pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan dengan parti-parti komponen GRS serta rakan gabungan dalam Kerajaan Negeri, Pakatan Harapan (PH) Plus.
“Perbincangan akan dibuat terlebih dahulu dengan parti-parti komponen GRS, kemudian bersama rakan gabungan dalam Kerajaan, iaitu PH Plus,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, di sini, hari ini.
Mengenai kerusi yang kini disandang oleh wakil parti dalam GRS, beliau menegaskan bahawa mereka akan mempertahankan kedudukan sedia ada, namun keutamaan tetap diberikan kepada calon yang berpotensi untuk menang.
“Sudah tentu kita akan mempertahankan kerusi-kerusi yang kita miliki sekarang, tetapi kita juga perlu menilai calon yang mempunyai peluang terbaik untuk menang. Jika ada calon yang lebih berpotensi, mereka akan diberi peluang untuk bertanding. Sekiranya tidak berdaya saing, mereka perlu menunggu giliran lain,” jelasnya.
Mengulas mengenai khabar angin bahawa terdapat pihak yang berminat untuk merebut kerusi tertentu milik GRS, Hajiji menyatakan bahawa dalam politik, sikap saling menghormati perlu dikekalkan.
“Saya juga mendengar perkara ini. Namun, dalam politik, kita harus menghormati hak setiap parti. Salahkah jika kita mahu mempertahankan kerusi yang telah kita menangi? Tidak sepatutnya ada sikap terlalu ghairah untuk merebut kerusi yang dimiliki pihak lain. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan dan saling menghormati,” katanya lagi.
Hajiji turut menekankan bahawa sebagai pemimpin, kebijaksanaan dan kematangan dalam menguruskan politik adalah faktor penting untuk memastikan kestabilan dan kemajuan negeri.
“Matlamat utama kita adalah untuk membangunkan negeri. Oleh itu, setiap keputusan perlu dibuat dengan penuh kebijaksanaan dan demi kepentingan rakyat Sabah,” ujarnya.


































