PUTRAJAYA: Sejumlah 246,732 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyertai Program Repatriasi Migran dengan tampil secara sukarela kepada Jabatan Imigresen (JIM) untuk pulang ke negara asal.
Menurut Utusan Malaysia, program itu bertujuan bagi memberi peluang kepada mana-mana PATI yang melakukan kesalahan imigresen tertentu pulang ke negara asal dengan menawarkan kadar kompaun lebih rendah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tempoh pendaftaran bagi program itu sudah berakhir pada 31 Disember tahun lalu melibatkan PATI dari 115 buah negara.
“Mengikut rekod setakat 31 Disember 2024, jumlah pekerja asing aktif di negara ini adalah seramai 2.3 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Zakaria sebelum ini memberitahu, Program Repatriasi Migran itu dibuka pada 1 Mac hingga 31 Disember tahun lalu dengan pendaftaran tertinggi diterima dari lima negara iaitu Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan.
Ia dilaksanakan JIM sepenuhnya tanpa sebarang pembabitan pihak ketiga.
Inisiatif itu juga secara tidak langsung akan memperbaiki stigma dalam kalangan PATI untuk pulang secara sukarela berbanding ditangkap dan diusir pulang melalui operasi penguatkuasaan JIM.
Antara syarat yang dikenakan kepada PATI untuk menyertai program itu ialah perlu memiliki pasport atau dokumen perjalanan sah serta mempunyai tiket pulang ke negara asal.
Kadar kompaun yang dikenakan ialah sebanyak RM500 bagi kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa permit sah atau tinggal lebih masa di negara ini, manakala RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penguatkuasaan PATI termasuk di kelab-kelab golf yang dianggap tempat eksklusif, Zakaria berkata, JIM sentiasa melaksanakan naziran dan operasi penguatkuasaan termasuk di lokasi berkenaan.
Katanya, bagi tahun lalu, JIM telah melaksanakan sebanyak tujuh operasi penguatkuasaan di kelab-kelab golf dengan seramai 113 orang warga asing diperiksa.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 50 warga asing dan seorang majikan telah ditangkap melakukan kesalahan imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Operasi penguatkuasaan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti menjadi tumpuan PATI sentiasa dilakukan termasuk di kelab-kelab golf seluruh negara. Tindakan penguatkuasaan berlandaskan aduan awam serta maklumat-maklumat lain yang diterima,” katanya.
Dalam hal ini, beliau memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara dan melakukan kesalahan imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, JIM adalah agensi penguatkuasaan yang secara khusus bertanggungjawab terhadap kawalan dan penguatkuasaan melibatkan warganegara asing yang berada di Malaysia, selaras peruntukan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63.
Di bawah peruntukan itu, Ketua Pengarah Imigresen boleh jika berpendapat bersesuaian untuk manfaat, kepentingan serta keadaan keselamatan awam, ekonomi, perindustrian, sosial, pendidikan atau keadaan-keadaan lain di Malaysia, membatalkan mana-mana Pas, Permit Masuk atau melarang mana-mana warganegara asing dari masuk ke Malaysia.
“Peruntukan ini secara khususnya membawa makna JIM sentiasa melindungi kepentingan rakyat dan ketenteraman awam di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, sumber industri golf mendakwa, sebanyak RM2.8 juta mengalir keluar dari negara pada setiap bulan ekoran tindakan kelab-kelab golf mengambil dan mengutamakan 1,740 pekerja asing untuk berkhidmat sebagai kedi tanpa permit sah dengan menganaktirikan pekerja tempatan.
Jumlah itu mengambil kira gaji daripada hampir separuh pendapatan RM4,000 yang diperoleh warga asing dan dihantar pulang ke kampung halaman untuk menampung keperluan keluarga masing-masing.
Mereka mendakwa, pihaknya amat kecewa dengan perkembangan itu selepas didapati 80 peratus daripada 159 kelab golf mengupah warga asing meskipun negara mempunyai kedi tempatan bertauliah di samping telah diberi latihan secukupnya.


































