BEIJING: Seorang remaja dari Hubei, China nyaris maut ketika mendaki seorang diri di salah satu laluan pendakian yang paling berbahaya di China dengan suhu di bawah sifar.
Menurut Utusan Malaysia, Sun Liang, bertahan dengan hanya menggunakan ubat gigi dan air sungai serta salji cair sebelum diselamatkan pada 17 Februari.
Pada 8 Februari, lelaki berusia 18 tahun itu memulakan pendakiannya selama 10 hari di Laluan Ao-Tai, sebuah laluan terkenal sejak 2018 yang telah ditutup kepada pendaki oleh pihak berkuasa Shaanxi dan Taibai.
Menurut laporan penyiasatan tempatan, sekurang-kurangnya 46 orang maut atau hilang selepas memulakan pendakian di laluan Ao-Tai dari 2012 hingga 2017.
Walaupun dilarang, beberapa pencinta alam masih mahu mencabar diri menakluk laluan sepanjang lebih 170 kilometer (km) yang menghubungkan Gunung Ao dan Taibai. Liang adalah antara mereka.
Dia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk merancang laluan sepanjang 80km, yang ditulisnya dalam satu hantaran di Weibo pada 19 Februari selepas diselamatkan.
Liang berpengalaman mendaki selama hampir setahun di seluruh China membuatkan dia ingin mendaki laluan Ao-Tai yang dianggapnya sebagai ‘projek graduasi’ pendaki gunung China.
“Laluan gunung pelancong biasa seperti berjalan kaki sahaja,” katanya kepada media China, sambil menambah dia ingin membuktikan mampu mendaki sendirian tanpa perlu bertanggungjawab terhadap rakan-rakan pendaki.
Liang telah menyediakan peralatan kecemasan, pemanas, dan pengecas bernilai kira-kira 40,000 yuan (RM24,507) yang beratnya lebih 32kg, serta peta yang dimuat turun pada peranti navigasinya supaya tidak bergantung pada isyarat telefon bimbit.
Namun, dia tidak bersedia menghadapi cuaca berubah-ubah yang terkenal di laluan itu.
Pelbagai cabaran dilalui sepanjang 10 hari termasuk terjatuh dari tempat tinggi hingga pengsan pada hari kelima pendakian, bekalan makanan dan peranti navigasi hilang, serta pergelangan tangannya patah.
Selama empat hari dan lima malam berikutnya, Liang terpaksa menahan lapar kerana tidak mahu mengambil risiko memakan kulat liar dan lumut di gunung, sebaliknya bergantung pada air sungai dan salji cair serta ubat gigi untuk kekal terhidrat.
Pada hari ke-10, Liang akhirnya terhidu asap api dan menjerit kuat yang membawa pasukan penyelamat kepadanya.
Keluarga Liang yang sudah terputus hubungan dengannya selepas dua hari meminta bantuan pihak berkuasa dan terpaksa mengeluarkan 80,000 yuan (RM49,000) untuk kos penyelamatannya.
Seorang penyelamat berkata, Liang adalah pendaki pertama yang diselamatkan dalam tempoh lima tahun, kemungkinan disebabkan oleh ketahanan mental remaja itu.
































