BANGKOK: Kementerian Buruh Thailand melaksanakan tindakan tegas terhadap guru asing tanpa permit dengan menyasarkan mereka yang bekerja tanpa kelulusan sah atau memasuki negara dengan visa pelancong.
Menurut Utusan Malaysia, di bawah langkah penguatkuasaan yang lebih ketat, mereka yang melanggar undang-undang kini berdepan denda antara 5,000 hingga 50,000 baht (RM660 hingga RM6,600) diikuti penghantaran pulang.
Sekolah dan institusi yang didapati menggajikan guru asing tanpa permit juga tidak akan terlepas daripada denda antara 10,000 hingga 100,000 baht (RM1,320-RM13,200) bagi setiap pekerja.
Bagi pesalah berulang, mereka berisiko dipenjarakan selama setahun dan didenda antara 50,000 hingga 200,000 baht (RM6,600-RM26,400), selain dikenakan larangan menggajikan pekerja asing selama tiga tahun.
Tindakan tegas itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga asing, pendidik dan penduduk tempatan dengan ramai yang menekankan kepentingan kelayakan sah dan pematuhan undang-undang.
Pengkritik berpendapat, guru yang tidak berkelayakan terutama dari Russia dan Eropah Timur memasuki sektor pendidikan tanpa ijazah universiti atau latihan formal menimbulkan kebimbangan terhadap kecekapan bahasa Inggeris dan kualiti pengajaran.
“Visa pelancong bukan untuk bekerja. Individu ini mengambil kesempatan terhadap sistem yang merosakkan sektor pendidikan Thailand,” kata pengkritik.
Sesetengah pihak mencadangkan agar syarat lebih ketat dikenakan, dengan menyeru supaya guru asing memenuhi piawaian Thailand, seperti lulus peperiksaan kebangsaan dan membuktikan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman bertauliah di sekolah yang dibiayai kerajaan di negara asal mereka.
Pattaya Mail melaporkan, Kementerian Buruh menasihatkan sekolah dan individu untuk mematuhi undang-undang buruh dan imigresen bagi menjaga integriti sistem pendidikan Thailand.


































