NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 18 orang maut manakala 10 lagi cedera dalam insiden rempuhan di Stesen Kereta Api New Delhi selepas ribuan orang berpusu-pusu memasuki kawasan berkenaan pada waktu puncak.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Penguasa Perubatan Hospital Lok Nayak, Dr Ritu Saxena, mengesahkan jumlah mangsa, manakala laporan agensi berita Reuters menyatakan tiga daripada mangsa yang maut merupakan kanak-kanak, manakala 10 lagi adalah wanita.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam satu hantaran di platform media sosial X menyampaikan ucapan takziah dan berkata, ingatannya bersama semua yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi malang itu.
Menurut saksi kejadian, keadaan di stesen utama ibu negara India itu menjadi terlalu sesak akibat kehadiran orang ramai yang sedang dalam perjalanan menghadiri Kumbh Mela, sebuah festival keagamaan Hindu.
Seorang lagi saksi pula menyatakan pihak polis telah berusaha mengawal keadaan, namun jumlah orang yang hadir terlalu besar sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis, KPS Malhotra, menjelaskan keadaan menjadi tidak terkawal buat seketika selama 10 hingga 15 minit akibat kesesakan melampau.
Pada awalnya, pihak Kereta Api India menafikan laporan mengenai kejadian rempuhan dan menyifatkannya sebagai khabar angin, menurut Reuters.
Namun, mereka kemudian mengesahkan terdapat beberapa individu telah mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital.
Kejadian ini berlaku hanya beberapa minggu selepas insiden rempuhan pada waktu subuh di Sungai Gangga dan Saraswati di utara India yang meragut lebih 30 nyawa.
Festival berkenaan menarik puluhan juta penganut Hindu yang datang untuk mandi di sungai suci pada hari-hari tertentu sepanjang perayaan enam minggu itu.


































