Fahmi Fadzil bercakap pada sidang akhbar mingguan di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
PUTRAJAYA: Jemaah Kabinet bersetuju supaya Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya iaitu diteliti dan disemak semula.
Katanya, perkara berkenaan turut dibincang dan dipersetujui oleh mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Pada Khamis, Perdana Menteri menyatakan bahawa Akta Perhimpunan Aman akan dipinda dan beberapa perkara akan dipermudah.
“Tambahan kepada itu, hari ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri juga telah meminta supaya Akta Sosma diteliti dan disemak,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan apa jua keputusan daripada badan atau kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perincian berhubung penelitian dan penambah baikan akta tersebut akan diterangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Insya-Allah dalam minggu ini, Menteri Dalam Negeri akan tampil ke Parlimen untuk memberi kenyataan mengenai perkara tersebut.
“Tapi secara prinsipnya, ada beberapa perkara yang telah dibincangkan dan dipersetujui berkaitan dengan menambahbaik atau pun menyemak semula Akta Sosma,” ujarnya.