PETALING JAYA: Seramai 18 individu akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat bagi dirakam percakapan bagi siasatan Op Sky.
Menurut Utusan Malaysia, ia susulan RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya setakat ini telah mengambil keterangan seramai 39 saksi bagi membantu siasatan.
“Dalam tempoh terdekat ini, kita akan memanggil lagi kira-kira 18 individu yang dikenal pasti untuk dirakam keterangan.
“Setakat ini, siasatan masih lagi berjalan dan kita masih memerlukan masa untuk melengkapkannya secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Azam berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak bank untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan pinjaman oleh pelanggan yang dikenal pasti.
“Jumlah akaun bank dibekukan dan aset yang disita masih sama seperti yang diberitahu sebelum ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 4,000 dokumen dirampas bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Ia susulan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan selain menahan 12 individu di sekitar Lembah Klang.
Setakat ini, 27 individu direman termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam dan semua mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi berkenaan juga, 98 akaun bank dibekukan dengan nilai lebih RM17 juta dan terbaru tiga selebriti yang menjadi duta syarikat turut dirakam keterangan.


































