Ellron (tengah) bergambar bersama para hadirin
KENINGAU: Kaum Cina telah menyumbang dan memainkan peranan besar dalam pembangunan negara sejak awal pembentukannya, kata Datuk Ellron Angin.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, komuniti Cina di Malaysia, khususnya di Sabah, telah memberikan sumbangan yang tidak dapat dinafikan dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam bidang ekonomi dan perniagaan, yang membantu memajukan sesuatu kawasan.
“Mereka telah memberikan sumbangan yang amat besar. Di Malaysia sahaja, kaum Cina telah menyumbang kepada pelbagai kejayaan. Lihat sahaja pemilikan premis perniagaan dan kedai-kedai—kebanyakannya dimiliki oleh komuniti ini, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook menyeru kaum lain, khususnya Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), agar mencontohi kegigihan serta ketekunan komuniti Cina dalam mengurus dan membangunkan perniagaan mereka sehingga mencapai kejayaan.
Selain itu, Ellron turut menekankan kepentingan meraikan pelbagai perayaan secara bersama untuk meningkatkan kefahaman dan memupuk perpaduan yang lebih erat, demi mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Terdahulu, beliau berucap di hadapan kira-kira 200 penduduk Kampung Ansip Tengah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang berlangsung di perkarangan rumah Peter Chen itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan serta tarian kebudayaan masyarakat Tionghua.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin Jiungan; Ketua Balai Polis Sook, SM Sius @ Albasius Sutin; ketua-ketua bahagian komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sook; serta penduduk setempat.


































