Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Sunita Williams memecahkan rekod jumlah masa berjalan di angkasa lepas oleh angkasawan wanita.
Menurut Utusan Malaysia, dengan catatan baharu 62 jam enam minit, Sunita berjaya mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang oleh Peggy Whitson iaitu 60 jam 21 minit.
Beliau merupakan salah seorang daripada dua angkasawan yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun 2024.
Sunita bersama seorang lagi angkasawan, Butch Wilmore dilaporkan berjaya menyelesaikan misi perjalanan di angkasa lepas pada 30 Januari lalu.
Menurut NASA, kedua-dua angkasawan itu menyelesaikan objektif utama mereka, termasuk menanggalkan antena frekuensi radio daripada struktur stesen angkasa dan mengumpul sampel untuk mengkaji mikroorganisma pada bahagian luar ISS.
“Williams (Sunita) mengatasi rekod yang dipegang bekas angkasawan NASA, Peggy Whitson untuk jumlah masa berjalan di angkasa oleh seorang angkasawan wanita.
“Beliau kini mencatatkan jumlah masa berjalan di angkasa selama 62 jam enam minit, sekali gus berada di kedudukan keempat dalam senarai sepanjang masa NASA,” menurut agensi itu.
Ia merupakan ruang angkasa kesembilan untuk Sunita dan yang kelima bagi Wilmore.
MISI KETIGA
Sunita, 60, dipilih sebagai angkasawan NASA pada Jun 1998, di mana beliau menjadi wanita pertama yang memandu kapal angkasa dalam misi sulungnya.
Misi kali ini menandakan perjalanan ketiganya ke angkasa lepas.
Wanita warga India-Amerika ini memperoleh ijazah sains fizikal dari Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dan ijazah Sarjana dalam pengurusan kejuruteraan Institut Teknologi Florida.
Penerbangan angkasa lepas pertamanya adalah misi STS-116 dari kapal angkasa Discovery untuk sampai ke ISS, di mana beliau menjadi jurutera penerbangan untuk Ekspedisi 14 dan 15.
Sepanjang berada di stesen, Sunita mencatatkan rekod dunia dengan empat perjalanan angkasa berjumlah lebih 29 jam dan menghabiskan lebih 195 hari di angkasa lepas.
Beliau adalah angkasawan Amerika kedua berasal dari India yang ‘terbang’ ke angkasa selepas Kalpana Chawla, yang meninggal dunia dalam bencana Columbia.
Sunita sekali lagi berlepas ke ISS pada 15 Julai 2012, sebagai sebahagian daripada anak kapal Soyuz TMA-05M.
Beliau melakukan tiga lagi perjalanan angkasa lepas, berjumlah lebih 21 jam, mengekalkan rekod berjalan di angkasa dengan jumlah masa di luar ISS antara dua penerbangannya melebihi 50 jam.
Wanita tersebut turut melengkapkan triathlon di orbit dengan menggunakan ‘treadmill’, basikal pegun dan mesin angkat berat untuk mensimulasikan bahagian renang dalam perlumbaan itu.
Sunita kembali ke Bumi pada 11 November setelah hampir 127 hari di angkasa, dengan gabungan bagi kedua-dua penerbangan adalah lebih daripada 321 hari.
TUJUH BULAN TERKANDAS
Pada 2015, Sunita adalah antara empat angkasawan yang dipilih untuk membuat penerbangan ujian pertama dalam program Kru Komersial NASA, di mana dua kapal angkasa kru persendirian baharu, SpaceX Crew Dragon dan CST-100 Starliner milik Boeing, membawa angkasawan serta bekalan ke ISS.
Beliau dipilih pada 2022 untuk penerbangan ujian pertama misi Starliner berawak ke ISS, yang dilancarkan pada 5 Jun 2024, bersama Wilmore sebagai komander dan Sunita selaku juruterbang.
Mereka pada asalnya dijangka kembali pada 18 Jun, tetapi disebabkan masalah teknikal pada Starliner, menyebabkan NASA mengubah rancangan dan menangguhkan kepulangan dua angkasawan berkenaan.
Januari lalu, kedua-dua mereka memaklumkan masih berada dalam keadaan baik walaupun terkandas di orbit.


































