Dr. Rafiq dan kakitangan UCSF bergambar bersama pasukan tarian singa yang meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina UCSF 2025.
KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) sentiasa meraikan dan menekankan nilai saling hormat- menghormati terhadap perbezaan yang wujud di negara ini dengan meraikan pelbagai perayaan yang ada.
Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris berkata, rakyat negara ini baru sahaja menyambut tahun baru 2025 pada bulan lalu dan juga perayaan Tahun Baru Cina (CNY) baru-baru ini.
Katanya, ini adalah suatu keunikan dan keistimewaan masyarakat berbilang kaum di Sabah yang bersama-sama menyambut dan meraikan perayaan pelbagai suku kaum.
“Persefahaman, perpaduan, budaya dan tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang kita perlulah terus dipertahankan oleh generasi akan datang demi kehidupan kita yang aman, damai dan harmoni”, katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina UCSF 2025 di lobi kampus itu di Sembulan dekat sini.
Dr.Rafiq berkata, pihaknya akan terus berusaha dan memastikan UCSF terus maju, dinamik dan menawarkan menu pendidikan yang menarik di negeri Sabah, selain sebagai pelengkap kepada apa yang sedang ditawarkan oleh institusi-institusi lain.
“Saya menjemput anak-anak muda yang belum membuat keputusan untuk sambung belajar, agar singgah ke UCSF dan melihat sendiri kursus-kursus yang ditawarkan. Ambilan Febuari 2025 masih dibuka dalam tempoh beberapa minggu.
“Saya berharap sempena Tahun Ular ini, kita akan terus bangkit dan memberikan yang terbaik kepada universiti yang kita sayangi,” katanya.
Tahun Baharu Cina UCSF disambut dengan meriah dengan dihadiri oleh lebih 200 orang warga universiti itu. Turut hadir adalah Douglas Joinol, Ahli Lembaga Pengarah universiti.
Majlis sambutan itu turut diserikan dengan acara menggaul yee sang oleh para pegawai utama UCSF, serta Ahli Lembaga Pengarah universiti, selain persembahan tarian singa, naga dan jamuan makan.


































