Dr. Joachim (tengah) bergambar bersama dengan sebahagian peserta Lawatan Kembara PBT Majlis Daerah Kuala Penyu.
BEAUFORT: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah melakukan penggubalan serta pengemaskinian terhadap semua ordinan berkaitan, termasuk peraturan penggunaan premis (Use of premises by-law).

Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan tetamu kehormat serta semua yang hadir dalam Lawatan Kembara PBT Majlis Daerah Sipitang.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pelaksanaan peraturan baharu itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan.
Beliau menjelaskan, kadar pembayaran sebelumnya terlalu rendah, manakala kenaikan selepas penilaian semula didapati agak mendadak.

Dr. Joachim (duduk, empat dari kanan) bergambar kenangan dengan tetamu kehormat dan kakitangan Majlis Daerah Beaufort sempena Lawatan Kembara PBT itu.
“Oleh itu, saya terpaksa meminta mereka untuk memperlahankan proses pelaksanaan. Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh terlebih dahulu,” katanya semasa Lawatan Kembara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sipitang, Beaufort dan Kuala Penyu.

Dr. Joachim menandatangani plak Bangunan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) selepas menghadiri mesyuarat Lawatan Kembara PBT Majlis Daerah Beaufort.
Menurutnya, pengurusan kewangan merupakan salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh kebanyakan PBT.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan perjawatan baharu di setiap PBT.

Dr. Joachim (tengah) bergambar kenangan bersama Isnin (empat dari kiri) Dr. Jamili (empat dari kanan) serta yang lain semasa mengadakan lawatan ke Bangunan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
“Pihak Kementerian akan membantu sedaya upaya. Sekiranya PBT mempunyai kewangan yang kukuh, mereka dapat meningkatkan pengambilan kakitangan,” tambahnya.
Lawatan Kembara ini bertujuan mengenali lebih dekat setiap PBT di Sabah, selain meneliti kekangan, isu serta cabaran yang mereka hadapi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Saya bersyukur kerana melalui lawatan ini, beberapa isu dapat dikenal pasti dan penyelesaian dapat dicari bagi PBT yang dikunjungi. Lawatan ini akan diteruskan sehingga semua PBT selesai dilawati.
“Selain itu, lawatan ini juga membantu Kementerian dalam perancangan tahun hadapan mengenai pelaksanaan di peringkat Kementerian,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.
Hadir sama dalam sesi Lawatan Kembara ini ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob; ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; ADUN Klias, Datuk Isnin Haji Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; dan Timbalan Setiausaha Tetap I, Tpr. Stanley Chong.


































