Anwar Ibrahim selepas Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di Putrajaya.
PUTRAJYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan sesetengah pemberi maklumat untuk mendedahkan salah laku mana-mana pihak kepada umum sebelum dibawa kepada pihak berkuasa boleh menghalang sebarang siasatan dilaksanakan.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, tindakan sedemikian juga akan mendedahkan individu yang terlibat ‘dihukum’ secara tidak adil dan menafikan hak mereka untuk melalui proses siasatan yang adil serta peluang untuk membela diri.
“Pada masa ini undang-undang memperuntukkan bahawa ada rasional untuk (tidak dilindungi pemberi maklumat yang mendedahkan kepada umum) kerana semua orang (boleh) mengatakan bahawa (mereka memberitahu) kebenaran.
“Kemudian orang luar akan mengutuk orang itu sebelum kes itu disiasat atau mempunyai peluang untuk menjelaskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada pihak berkuasa merancang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) untuk melindungi individu yang membuat pendedahan awam sebelum melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tiada cadangan untuk meminda akta berkenaan dan pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu dan boleh diberikan perlindungan berdasarkan justifikasi tertentu.
































