Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.
PETALING JAYA: Sebanyak lima Rang Undang-undang (RUU) bakal menjadi tumpuan pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 termasuk Akta Pendidikan 1996 (Pindaan) 2025 bagi mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah.
Menurut Utusan Malaysia, sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya mahu mengangkat dasar mewajibkan pendidikan itu pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini.
Selain itu, RUU Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 juga bakal dibentangkan selepas ia ditangguh pada sidang lalu, antara lain membabitkan mengadakan peruntukan penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
Sementara itu, pembentangan untuk bacaan kali kedua beberapa RUU antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, RUU Majlis Media Malaysia 2024, RUU Kebebasan Maklumat dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 dimulai dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat, hari ini.
Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan titah ucapan diraja itu bagi perasmian kedua-dua Dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari bermula 4 Februari ini.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan lisan atau bertulis oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari depan.
Selain itu, Kertas Putih Agenda Negara Menua juga akan dibentang di Dewan Rakyat yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.
Pada minggu kelima persidangan bermula 3 sehingga 6 Mac menyaksikan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang secara serentak.
































