Drama Sky Castle diilhamkan dari sebuah kisah benar di Korea Selatan yang menggambarkan kehidupan keluarga elit.
Drama Korea (K-drama) mencetuskan fenomena global dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kisah-kisah menarik dan format episod yang ringkas sekali gus berjaya memikat hati penonton di seluruh dunia.
Menurut Utusan Malaysia, setiap drama yang dihasilkan hanya satu musim sahaja, namun sentiasa dipenuhi dengan plot jalan ceritanya persis dalam filem.
Ia membuatkan kebanyakan penonton merasakan seperti menonton sebuah filem yang panjang, walhal ia hanyalah drama sahaja.
Berbanding siri televisyen dari negara lain, drama Korea terkenal dengan jumlah episod yang singkat, lazimnya sekitar 12 hingga 16 episod.
Namun persoalannya, apakah faktor yang menjadikan format ini begitu popular?
Menurut beberapa pakar industri hiburan Korea Selatan, format episod terhad ini mempunyai banyak kelebihan iaitu jalan cerita yang padat dan terfokus dengan format ini memastikan kisah yang disampaikan tidak berulang-ulang atau terkeluar daripada plot utama.
Keutamaan diberikan kepada kualiti cerita berbanding kuantiti episod, menjadikannya lebih berkesan dalam menarik perhatian penonton berbeza dengan drama bersiri yang panjang, drama Korea yang singkat mampu mengekalkan kualiti dari awal hingga akhir.
PLOT SUKAR DIJANGKA

Dinar Pamugari menerusi artikelnya, ‘Memahami alasan drama Korea hanya mempunyai sedikit episod’, mengutarakan antara sebabnya adalah kerana alur cerita dalam drama tersebut umumnya mempunyai plot yang sukar dijangka dan konflik tidak berlarutan.
Ia sekali gus menarik perhatian penonton setia menantikan setiap episod.
“Kualiti yang saya sebutkan adalah bagaimana k-drama ini sangat teliti untuk menjadikan setiap adegannya.
“Itu yang membuatkan drama tersebut sangat realistik sehingga mampu membuatkan penonton untuk berfikir, apa yang dilakonkan tersebut sebenarnya berlaku di dalam kehidupan seharian,” ulasnya.
Selain itu, drama Korea sering menyampaikan mesej sosial yang relevan dengan cara pengemasan yang sangat baik.
Sebagai contoh, drama Sky Castle yang diilhamkan dari sebuah kisah sebenar di Korea Selatan, menggambarkan kehidupan keluarga dari kalangan elit yang memaksa anak-anak mereka mengikuti kehidupan yang telah diatur oleh orang tua, walaupun perlu menindas golongan bawahan.
Setiap episod drama ini berjaya membuatkan penonton berasa marah dan geram, sehingga menjadikannya drama dengan rating tertinggi pada 2019.
Antara contoh kejayaan ini ialah Goblin dan Descendants of the Sun, masing-masing dengan 16 episod, yang mendapat sambutan hangat pada 2016 dan menjadi antara drama paling berpengaruh.
Format episod pendek juga mengambil kira jadual padat para pelakon dengan ramai aktor Korea terlibat dalam pelbagai projek serentak.
Drama yang singkat memudahkan mereka menyelesaikan penggambaran tanpa menjejaskan komitmen lain.
Sementara itu, kebanyakan drama akan menggunakan pelakon-pelakon terkenal yang memegang watak-watak penting untuk menarik perhatian penonton.
Sebagai contoh, drama bersiri terkenal di Netflix, Squid Game menampilkan barisan pelakon handalan seperti Lee Jung Jae, Lee Byung-Hun dan Gong Yoo yang semestinya ‘level’ mereka ini bukanlah pada drama televisyen, tetapi sudah berada di tahap yang tertinggi, iaitu filem.
DURASI SINGKAT

Format ini juga dipengaruhi oleh faktor penonton yang terdiri daripada golongan pelajar, pekerja pejabat dan suri rumah yang sibuk yang seringkali hanya mempunyai masa lapang pada hujung minggu.
Oleh itu, episod drama Korea biasanya berdurasi sekitar satu hingga dua jam bagi setiap episod dan boleh ditamatkan dalam masa singkat.
Selain itu, kos produksi juga menjadi faktor penting dengan drama Korea yang berkualiti tinggi melibatkan aktor ternama dengan bayaran mencecah jutaan ringgit bagi setiap episod.
Sebagai contoh, bayaran untuk Gong Yoo adalah sebanyak AS$7 juta (RM 30 juta) sedangkan dia hanya muncul dalam dua episod sahaja dalam drama Squid Game musim ini.
Faktor-faktor inilah yang menjadi antara punca mengapa drama Korea mempunyai jumlah episod yang lebih sedikit berbanding drama dari negara lain.
Oleh itu, pengurangan jumlah episod membantu mengekalkan bajet produksi pada tahap yang optimum.
Antara sebab mengapa K-drama ini hanya kekal satu musim sahaja ataupun 16 episod ialah kerana peminat drama sudah terbiasa dengan jalan cerita drama Korea Selatan yang hanya memerlukan satu musim sahaja untuk diselesaikan.
Bagi mereka, memotong jalan cerita yang berkesinambungan dan terpaksa menunggu musim baharu hanya akan membuatkan mereka hilang selera ataupun ‘mood’ untuk menonton musim selanjutnya.
Dengan kombinasi cerita menarik, pelakon berbakat dan format episod yang strategik, drama Korea terus menjadi fenomena hiburan global.
Ia jelas memainkan peranan penting dalam mengekalkan daya tarikan dan popularitinya di mata dunia.
































