Marcus Rashford lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan sejak Disember lalu.
MANCHESTER: Bekas bintang pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand percaya Marcus Rashford tidak lagi mempunyai masa depan di kelab tersebut susulan kenyataan pengendali, Ruben Amorim yang berkeras untuk mengekalkannya di bangku simpanan.
Menurut Utusan Malaysia, Rashford terlepas banyak perlawanan sejak 12 Disember lalu apabila Amorim tidak lagi menyenaraikan pemain itu dalam kesebelasan utamanya walaupun sebagai pemain simpanan.
Ketika memberi alasan tidak menyenaraikan Rashford dalam perlawanan menentang Fulham yang menyaksikan United menang 1-0 Ahad lalu, Amorim menegaskan sikap sambil lewa pemain terbabit dalam latihan mengundang kemarahannya sehinggakan dia sanggup menyenaraikan jurulatih penjaga gol, Jorge Vital yang berusia 63 tahun sebagai pengganti.
“Alasannya ialah latihan. Dalam fikiran saya, apa yang patut pemain bola sepak buat dalam latihan, dalam kehidupan seharian. Saya lebih rela meletakkan Vital menggantikan pemain yang tidak meletakkan usaha maksimum setiap hari,” kata Amorim yang dianggap tindakan paling drastik dilakukannya sejak mengendalikan kelab tersebut November lalu.
Ferdinand yang menang enam gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara semasa zaman kegemilangannya selama 12 tahun di Old Trafford berkata, kalau dia di situasi itu ia amat memalukan,
“Jika saya pemain itu seperti yang dikatakan pengurus… memang memalukan. Kita semua ada masa naik dan turun dalam permainan, hilang keyakinan tetapi kesungguhan sangat penting untuk menilai apa yang dikatakan pengurus.
“Saya rasa dia faham apa yang dikatakan pengurus itu. Dia (Amorim) tidak akan berkata seperti itu tanpa sebab. Apa akan berlaku selepas ini. Saya berpendapat tidak ada lagi peluang buat Marcus selepas ini selepas apa yang dikatakan oleh Amorim mengenainya,” kata Ferdinand.
Disember lalu, Rashford berkata, dia bersedia untuk mencari cabaran baharu, namun niatnya terbantut seminggu sebelum jendela perpindahan Januari dibuka.
Barcelona, Borussia Dortmund dan AC Milan adalah kelab gergasi Eropah yang dikaitkan dengan perpindahan pemain berusia 27 tahun itu yang telah menjaringkan 138 gol dalam 426 penampilan bersama United.
Apa jua kontrak bersama pemain itu, kelab baharu perlu membayar gajinya 300,000 pound seminggu kerana ia termaktub dalam perjanjian sehingga 2028.
































