Mohamed Salah
LONDON: Biarpun menampilkan aksi sempurna pada musim ini, Liverpool berdebar untuk menutup jendela perpindahan musim panas dengan beberapa pemain berkemungkinan meninggalkan pasukan.
Menurut Utusan Malaysia, jendela perpindahan bulan ini menyaksikan trio Liverpool, Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold bebas untuk berbincang dengan kelab lain menjelang kontrak mereka yang akan berakhir pada musim panas ini.
Pemain EPL dengan baki enam bulan dalam kontrak boleh berunding dengan kelab bukan Inggeris dan menandatangani prakontrak yang akan menyaksikan mereka menyertai pasukan baharu sehari selepas tamat tempoh perjanjian mereka.
Kapten Liverpool, Van Dijk mengakui dia tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan selain Alexander-Arnold telah menarik minat Real Madrid dan Salah masih mencari pasukan yang mampu menampung jumlah gajinya.
“Saya tidak tahu berapa ramai yang keluar musim ini? Harap mereka ada jaminan dan saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” kata Van Dijk.
Jendela perpindahan terakhir The Reds dilihat perlahan seperti yang berlaku ketika ketibaan rekrut baharu mereka sebelum ini Federico Chiesa dari Juventus.
Pasukan kendalian Arne Slot tidak memerlukan muka baharu, dengan skuad yang menamatkan musim lalu di tempat ketiga liga sudah membuktikan pencapaian melebihi jangkaan pada musim ini.
Liverpool memiliki skuad lengkap yang baik buat masa ini, namun beberapa masalah kecederaan boleh mengganggu rentak yang mereka bentuk di bawah pengurus baharu itu.
The Reds dijangka bersaing dengan Napoli dan Manchester United untuk bintang Borussia Dortmund, Karim Adeyemi yang mana terdapat cadangan supaya mereka memerhatikan penyerang itu.
Pemain antarabangsa Jerman itu boleh bermain di beberapa bahagian serangan dan disebut-sebut sebagai bakal pengganti Mohamed Salah jika pemain Mesir itu berhijrah pada musim panas.
Jika pasukan Slot bergerak untuk mendapatkan Adeyemi, ia juga boleh menjejaskan usaha Napoli untuk mengejar pemain sayap United, Alejandro Garnacho.

































