Ferdy Druijf difahamkan sudah memberikan maklumat dirinya kepada FAM.
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend mengesahkan proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir.
Menurut Utusan Malaysia, dalam masa yang sama, bekas pemain Kanada itu turut memaklumkan tiga lagi pemain warisan untuk wakili Harimau Malaya juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac dan dengan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya.
“Bagaimanapun, kami tetap sama-sama komited untuk mencapai hasil dalam pembangunan pemain domestik di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
“Walaupun naturalisasi adalah antara komponen penting dalam strategi kami, kami memahami kepentingan memupuk bakat tempatan untuk memastikan kejayaan yang mampan untuk pasukan kebangsaan.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Berdasarkan perkembangan tu, ramai peminat di media sosial tertanya-tanya siapa pemain yang dimaksudkan dan ada yang menjangkakan pemain itu adalah Dylan Van Wageningen yang beraksi di posisi pertahanan tengah.
Pemain yang berusia 22 tahun itu merupakan antara prospek muda terbaik di Liga Eredivisie dan kini beraksi bersama Sparta Rotterdam.
Turut dikaitkan ialah penyerang SK Rapid Wien dari Liga Austria iaitu Ferdy Druijf yang berusia 26 tahun dengan difahamkan, pemain itu juga sebelum ini sudah memberikan segala maklumat tentang dirinya kepada FAM.
Selain itu, nama Sem Scheperman yang sebelum ini dilaporkan telah dihubungi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan masa depannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang juga turut mendapat perhatian.
Sementara itu, seorang lagi pemain Iggy Houben hampir pasti bukan pemain yang dimaksudkan Friend selepas ahli keluarganya menafikan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.
Menerusi kenyataan yang tular di laman sosial, keluarga Houben menafikan mereka memiliki salasilah darah Malaysia kerana seratus peratus asli dari negara Belanda.

































