Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd. Rumsani baru sahaja merangkul gelaran Terbuka India.
PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani berpeluang merampas kedudukan teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) jika berjaya melangkah jauh pada kejohanan tertua, All England di Birmingham 11 Mac ini.
Menurut Utusan Malaysia, gandingan profesional negara itu yang baru sahaja merangkul gelaran Terbuka India, 19 Januari lalu, kini menghuni ranking No. 2 dunia dengan kutipan 91,876 mata.
Sze Fei-Izzuddin hanya dipisahkan 3,027 mata di belakang beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen yang kini mengumpul 94,903 mata untuk bergelar beregu No. 1 dunia.
Mengambil kira prestasi semasa Astrup-Rasmussen yang bermula langkah kiri sebaik musim 2025 membuka tirai, membuka peluang kepada Sze Fei-Izzuddin memanfaatkan kesempatan yang ada.
Astrup-Rasmussen terkandas seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia serta Terbuka India dan kegagalan itu telah membuka laluan seluas-luasnya kepada Sze Fei-Izzuddin untuk merapatkan jurang mata dengan beregu veteran Denmark itu.
All England merupakan kejohanan bertaraf Super 1,000 dan menawarkan mata ranking yang besar iaitu sebanyak 12,000 selaku juara dan 10,200 jika muncul naib juara.
Mara sekurang-kurangnya separuh akhir turut menawarkan mata ranking yang lumayan iaitu sebanyak 8,400 mata untuk Sze Fei-Izzuddin.
Bagaimanapun, untuk mencapai sasaran itu, Sze Fei-Izzuddin bukan sekadar perlu berdepan halangan Astrup-Rasmussen, malah, pencabar-pencabar mereka yang lain.
Beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang kini berada di tangga No. 3 dunia dengan 87,068 mata, turut mampu menggugat.
Dua lagi beregu iaitu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (86,957 mata) dan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (82,435 mata) turut tidak boleh diketepikan cabaran mereka.
Selain itu, Korea Selatan yang masih bereksperimen dengan beregu pecah ganding, Kim Won Hoo-Seo Seung Jae dan Jin Yong-Kang Min Hyuk yang mempamerkan prestasi konsisten bakal menjadi gandingan ‘kacau daun’ yang mampu menyekat langkah Sze Fei-Izzuddin pada All England.


































