Pelancaran jersi baharu Harimau Malaya tajaan jenama sukan PUMA di Petaling Jaya, baru-baru ini.
PETALING JAYA: Hanya selangkah melepasi tapisan dokumentasi sebelum peminat bola sepak boleh mengetahui pemain warisan baharu yang akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya di bawah projek merevolusikan pasukan berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan tempoh sekurang-kurangnya sebulan paling awal untuk menyelesaikan perkara berkaitan dokumentasi pemain terbabit.
Katanya, KDN akan membuat semakan terperinci untuk melihat sama ada nama-nama mereka mempunyai hubungan rakyat Malaysia.
“Kalau dia ada salasilah, ada kaitannya dengan rakyat Malaysia, yang ada pada kategori Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan, tapi kalau mereka tiada pertalian, permohonan akan berada di bawah Perkara 19.
“Proses itu kalau sekarang kita boleh proses mengikut undang-undang, maknanya saya sudah teliti dan semua sepakat, maka boleh diluluskan sepantas satu bulan atau tidak lebih 12 bulan,” katanya pada sidang media selepas hadir Program Sua Mesra KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karangan, Padang Serai, Kulim.
Jika segalanya berjalan lancar, impian untuk melihat wajah baharu skuad Harimau Malaya akan menjadi kenyataan selepas struktur di peringkat pengurusan termasuk pelantikan pengendali baharu pasukan kebangsaan sudah pun dilaksanakan.
Skuad kebangsaan di bawah ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski akan memulakan kempen Kumpulan F dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 bersama Nepal, Laos, dan Vietnam yang akan membuka tirai pada Mac ini.
































