KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan kejadian keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal di Sabah, dengan lima kes dilaporkan pada tahun 2025.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr. Maria Suleiman berkata, kejadian pertama melibatkan satu kes di Kota Kinabalu pada 10 Januari, manakala empat kes lagi berlaku di Kota Marudu pada 24 Januari.
Menurut beliau, kesemua mangsa berumur antara 15 hingga 48 tahun. Mereka mengalami gejala seperti pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran bernafas selepas memakan ikan buntal yang dibeli daripada pasar tempatan dan dimasak sendiri.
Daripada lima kes tersebut katanya, tiga mangsa telah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan awal di hospital, manakala dua lagi masih dirawat dan berada dalam keadaan stabil.
Dr. Maria menjelaskan bahawa ikan buntal mengandungi tetrodotoksin (TTX), sejenis toksin saraf yang sangat berbahaya. TTX tidak dapat dikesan melalui perubahan warna, bau, atau bentuk makanan. Toksin ini juga terdapat dalam beberapa spesies laut lain seperti belangkas dan siput laut, serta haiwan amfibia seperti katak beracun.
“Gejala keracunan TTX boleh muncul dalam tempoh 10 hingga 45 minit selepas memakan makanan tercemar. Antara gejala termasuk kebas pada bibir, lidah, dan muka, sakit kepala, loya, muntah, cirit-birit, serta kelumpuhan otot pernafasan. Dalam kes yang serius, kematian boleh berlaku dalam tempoh 6 hingga 24 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JKNS telah mengambil langkah kawalan dan pencegahan, termasuk memberikan pendidikan kesihatan kepada mangsa dan komuniti setempat.
Orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan pengambilan makanan yang disyaki mengandungi TTX bagi mengelakkan risiko keracunan.
Sekiranya mengalami gejala awal keracunan, beliau menegaskan agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.
Maklumat lanjut mengenai bahaya TTX dan langkah pencegahan boleh didapati di laman web Bahagian Pendidikan Kesihatan dan media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“JKNS amat menekankan kepentingan kesedaran masyarakat mengenai bahaya toksin ini. Kami menggesa orang ramai untuk mengelakkan pengambilan ikan buntal dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala keracunan. JKNS komited untuk memantau situasi ini dan akan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.


































