TOKYO: Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah bangunan di Daerah Shibuya, Tokyo, malam Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, insiden itu turut mengakibatkan kecederaan kepada seorang pejalan kaki.
Menurut laporan polis, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 9 malam waktu tempatan di bangunan Parco yang terletak berhampiran Stesen Shibuya.
Seorang saksi yang menyaksikan insiden itu segera menghubungi talian kecemasan.
Siasatan awal mendapati remaja yang dipercayai berusia 17 atau 18 tahun itu dilaporkan melompat dari teres terbuka di tingkat 10 bangunan berkenaan.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjalan bersama isterinya di bawah turut mengalami kecederaan di kepala selepas terkena kaki mangsa.
Kedua-dua mangsa segera dibawa ke hospital.
Bagaimanapun, remaja tersebut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, manakala kecederaan lelaki terbabit dilaporkan tidak mengancam nyawa.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.


































