Muhammad Shah Firdaus Sahrom boleh dianggap tulang belakang pelumba trek untuk kejohanan musim ini.
PETALING JAYA: Empat kejohanan utama dalam kalendar lumba basikal antarabangsa bakal menjadi pentas terbaik buat pelumba negara memburu mata Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), dengan harapan cerah bagi memperkukuhkan ranking dunia.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) yang dijadual pada 21 hingga 27 Februari ini serta ASEAN Track GP President Cup Championships 2025 Siri 1, 2 dan 3 (13-20 Januari) akan berlangsung di Velodrom Kebangsaan Nilai, Negeri Sembilan.
Beliau yakin kelebihan bertanding di gelanggang sendiri dan sokongan padu penonton tempatan mampu menjadi motivasi tambahan buat pelumba seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izati Mohd. Asri.

“Pelumba negara sudah biasa dengan trek di Nilai, jadi ini peluang terbaik buat mereka memanfaatkan kelebihan tersebut untuk mengumpul mata UCI.
“Dengan pengalaman dan status mereka sebagai pelumba bertaraf dunia, saya percaya Shah dan Izzati tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Menurut Amarjit, biarpun Sukan Olimpik Los Angeles 2028 masih jauh, beliau berharap pelumba negara dapat mengekalkan momentum kejayaan bermula awal tahun ini sebagai persediaan jangka panjang.
Namun, beliau turut mengingatkan ancaman besar yang bakal datang daripada pelumba hebat negara Asia lain seperti Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan, Hong Kong dan Iran.
“Walaupun cabaran mereka sengit, saya yakin pelumba kita mampu bersaing jika memberi tumpuan sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, legenda trek dunia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang merangkul dua emas dalam acara keirin dan pecut pada ACC 2023, dijangka tidak menyertai kejohanan kali ini kerana memberi tumpuan menghabiskan pengajiannya.
Amarjit menegaskan, prestasi pelumba negara di ACC 2025 dan ASEAN Track GP President Cup Championships 2025 akan menjadi petunjuk penting menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
“Jika usaha keras dilipat gandakan, saya percaya kita mampu menyapu bersih semua pingat dalam acara trek di Bangkok nanti. Saya harap kejohanan besar ini dapat menjadi pemangkin kejayaan buat pasukan Malaysia,” katanya.




























