Lamine Yamal menggayakan aksi selepas menjaringkan gol menentang Athletic Bilbao di Bandar Sukan Raja Abdullah, Arab Saudi
JEDDAH: Bintang remaja Gavi dan Lamine Yamal membantu Barcelona mara ke perlawanan akhir Piala Super selepas jaringan mereka menewaskan Athletic Bilbao 2-0 di sini hari ini walaupun tanpa kelibat perancang utama Dani Olmo.
Olmo sebelum ini dibenarkan bermain atas tiket sementara berikutan masalah memperbaharui lesen seperti yang dialami rakan sepasukan Paul Victor, namun keputusan itu terlalu lewat menyebabkan kelab tidak dapat menyenaraikan dalam kesebelasan.
Gavi meletakkan Barca di depan seawal minit ke-17 sebelum Yamal mengukuhkan kedudukan pada babak kedua untuk menghukum penyandang juara Copa del Rey itu sehingga wisel penamat.
Sementara itu, juara Eropah dan Sepanyol, Real Madrid akan menentang Mallorca esok dalam separuh akhir kedua di sini selepas kejohanan itu ditangguh beberapa kali di Arab Saudi.
“Athletic pasukan yang memiliki kekuatan fisikal yang kuat menyebabkan anda terpaksa kerap berlari dan mengejar bola. Kami berdepan aksi yang sukar tetapi berjaya mempamerkan permainan yang baik sehingga wisel akhir,” kata Yamal.


































