KATHMANDU: Gempa bumi kuat di kaki bukit utara Himalaya berhampiran bandar paling suci di Tibet sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang dan menggegarkan bangunan di negara jiran Nepal, Bhutan dan India.
Menurut Utusan Malaysia, bencana alam itu melanda pada pukul 9:05 pagi (waktu tempatan) dengan pusat gempa terletak di Tingri, sebuah daerah luar bandar yang dikenali sebagai pintu masuk utara ke rantau Everest pada kedalaman 10 kilometer (km), menurut Rangkaian Pusat Gempa Bumi China.
Awalnya gempa itu direkodkan pada 6.8 magnitud namun Perkhidmatan Geologi Amerika (AS) meletakkan magnitud gempa itu pada skala 7.1.
Televisyen kendalian kerajaan China melaporkan, seramai 130 orang turut cedera di Tibet enam jam selepas bencana itu berlaku.
Bagaimanapun tiada laporan kematian dilaporkan di kawasan lain.
Bahagian barat daya China, Nepal dan utara India kerap dilanda gempa bumi yang disebabkan oleh perlanggaran plat tektonik India dan Eurasia.
Pusat gempa itu adalah sekitar 80 km di utara Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia dan destinasi popular untuk pendaki dan pengembara.
Presiden China, Xi Jinping berkata, usaha mencari dan menyelamat besar-besaran dijalankan bagi meminimumkan kematian, menempatkan semula penduduk terjejas dan memastikan musim sejuk yang selamat dan hangat.
Lebih 1,500 anggota bomba dan penyelamat tempatan dikerah ke kawasan yang terjejas, lapor agensi berita Xinhua.
Kira-kira 22,000 barangan termasuk khemah, kot kapas, selimut dan katil lipat juga sudah dihantar ke kawasan yang dilanda gempa.


































