Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan hanya Google penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan lesen.
Menurut Utusan Malaysia, Fahmi berkata, kementerian akan memberikan sedikit masa kepada Google untuk melakukan permohonan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) itu.
Katanya, bagi permohonan Meta yang mengendalikan platform Facebook, Instagram, dan WhatsApp pula dijangka akan selesai dan diluluskan dalam masa terdekat.
“ByteDance (TikTok) dan Tencent (WeChat) telah menjadi penyedia perkhidmatan pertama diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini pada awal bulan lalu.
“Manakala, Telegram menjadi penyedia ketiga yang menerima lesen ini yang telah diluluskan pada Khamis,” katanya ketika sidang media Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Negeri Melaka di sini.
Mengulas lanjut, Fahmi turut mengingatkan semua penyedia platform media sosial untuk memantau aktiviti perjudian atas talian, penipuan dan sebagainya.
“Semua platform perlu ambil tindakan yang lebih proaktif dan tidak lagi bergantung harap kepada SKMM sahaja untuk menghentikan perkara itu,” katanya.


































