Mohd. Joehari Mohd. Ayub
PETALING JAYA: Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub kini menjadi calon ‘popular’ untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam Kongres FAM pada Februari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Mohd. Joehari yang merupakan Naib Presiden FAM dengan beliau diberi tanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Status FAM pada penggal ini difahamkan mendapat sokongan majoriti ahli gabungan.
Menurut sumber, perkara itu sudah dibuktikan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan FA, termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA) November, lalu.
“Dalam pertemuan itu rata-rata ahli gabungan mencadangkan nama beliau (Mohd. Joehari), terbaharu nama beliau juga berada dalam senarai teratas dalam salah satu kem pemilihan.
“Apa pun kita tunggu sehingga akhir bulan ini kerana senarai pencalonan akan keluar. Sama ada Mohd Joehari menang tanpa bertanding atau sebaliknya saya tidak mahu ulas,” katanya.
Berdasarkan penilaian awal, Mohd. Joehari sudah mendapat satu pencalonan dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebulat suara mencalonkannya untuk bertanding jawatan Presiden FAM.
Bagi jawatan presiden, enam pencalonan diperlukan daripada ahli gabungan manakala timbalan presiden pula perlukan lima pencalonan diikuti naib presiden (empat pencalonan) dan Exco (dua pencalonan).
Mohd. Joehari antara nama yang disebut bakal bertanding jawatan Presiden FAM untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin yang tidak akan mempertahankan jawatannya pada Kongres FAM pada Februari ini.
Selain Mohd, Joehari terdapat beberapa nama lain yang menawarkan iri merebut jawatan Presiden FAM termasuk bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail dan bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah
Selain itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin turut menawarkan diri dengan dia tidak mahu mengambil gaji jika dipilih.


































