Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd. Rumsani diramal bertemu pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada saingan separuh akhir Terbuka Malaysia yang membuka tirai minggu depan.
PETALING JAYA: Pasangan No. 3 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd. Rumsani berpeluang cerah melangkah sejauh separuh akhir sebelum dijangka berdepan gandingan No. 1 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada Terbuka Malaysia, minggu depan selepas undian, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, juara Terbuka China itu bagaimanapun perlu melepasi halangan gandingan ke-26 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark terlebih dahulu di pusingan pertama dan jika berjaya, Sze Fei-Izzuddin berkemungkinan besar berdepan pasangan adik-beradik dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov di peringkat 16 terbaik.
Seandainya mereka melepasi halangan awal itu, di suku akhir beregu No. 1 Malaysia tersebut berpotensi berdepan sama ada Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan ataupun rakan senegara, Man Wei Chong Tee Kai Wun yang terlebih dahulu perlu menewaskan gandingan No. 19 dunia, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dari Jepun di pusingan pertama.
Sze Fei-Izzuddin berpeluang melunaskan dendam ke atas Astrup-Rasmussen yang menyekat hajat mereka merangkul gelaran pada final Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, Disember lalu sekiranya beregu Denmark itu turut mara dan sokongan peminat tempatan bakal memberi kelebihan buat gandingan Malaysia.
Bagi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mereka sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah untuk menyingkirkan Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat pada pusingan pertama.
Cuma jika beregu No. 6 dunia itu melepasi dua halangan awal, di suku akhir Aaron-Wooi Yik bakal berdepan ujian getir menentang pasangan handalan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Sekiranya misi membenam membenam beregu No. 2 dunia itu berjaya direalitikan, maka Aaron-Wooi Yik berpotensi untuk bertemu pilihan keempat, Fajar Alfian- Muhammad Rian Ardianto di separuh akhir dengan gandingan Indonesia itu akan menjadi lawan beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada peringkat 32 terbaik.
Bagi Arif Junaidi-Yap Roy King pula yang melakukan penampilan sulung pada Terbuka Malaysia bakal bertemu pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae manakala Nur Mohd Azryn Ayub Azryn-Tan Wee Kiong menentang Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dari China di pusingan pertama.
Sementara itu, dalam perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang ditimpa kecederaan ligamen buku lali kanannya di Hangzhou turut berada sdalam undian utama, walaupun tahap kecergasannya masih menjadi tanda tanya.
Pemain No. 6 dunia itu akan berdepan wakil Taiwan, Su Li Yang pada peringkat 32 terbaik dan jika mara sehingga ke suku akhir, bintang No. 1 dunia, Shi Yu Qi dari China sedia menanti Zii Jia.
Namun, sekiranya keputusan diluar jangka berlaku dengan seorang lagi wakil perseorangan Malaysia, Leong Jun Hao melakar kejutan ke atas Lu Guang Zu di pusingan awal dan mengetepikan Yu Qi di pusingan kedua, maka anak jati Kuala Lumpur itu berpotensi menjadi lawan Zii Jia pada suku akhir.
Jika bukan Jun Hao yang mencipta kejutan, pemain No. 15 dunia, Kenta Nishimoto dari Jepun juga mampu menggalas peranan sebagai giant killer dan menjadi pencabar Zii Jia di peringkat lapan terbaik.

































