PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak menolak kemungkinan bakal mendapatkan pandangan daripada umum terhadap rekaan baharu pakaian rasmi kontinjen negara untuk menyertai Sukan SEA 2025 di Thailand.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib bagaimanapun berkata, kaedah tersebut tidak akan diguna pakai sekiranya pakaian rasmi tersebut tidak mengalami perubahan daripada segi corak dan rekaan.
“Kalau kita ikut corak rekaan yang lama, kita tak akan buat apa-apa pertanyaan kepada umum tetapi mungkin kalau ada corak rekaan baharu kita akan buat semakan dengan peminat sukan negara. Kita tak nak ada isu pakaian untuk tahun 2025,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Terdahulu, pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan iaitu baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik, Jun lalu namun, ia menerima kecaman hebat orang ramai dan netizen yang tidak berpuas hati dengan rekaan ditampilkan.
Nazifuddin berkata pihaknya masih belum mengadakan perbincangan mengenai pakaian rasmi kontinjen negara ke temasya dwitahunan itu namun tidak menolak kemungkinan untuk melakukannya kerana sudah lengkap empat kitaran.
“Buat sekarang ikut status quo sebab pakaian kontinjen ada empat kitaran Sukan Olimpik dan kita baharu habis Olimpik Paris. Jadi, kita mungkin ada kitaran dan penganjuran yang baharu.
“Jadi, kita akan tengok untuk tahun depan macam mana dengan pakaian baharu. Kalau bukan Yonex mungkin ada pertukaran corak rekaan,” katanya.
Difahamkan, corak, reka bentuk serta motif pakaian dikeluarkan pada setiap kitaran baharu penajaan MOM kebiasaannya bermula dari Sukan SEA dan berakhir di Sukan Olimpik seperti rekaan baju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dipakai sehingga Olimpik Tokyo 2020.
Reka bentuk untuk pakaian rasmi kontinjen Malaysia akan melalui kitaran baharu bermula Sukan SEA Thailand 2025 hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.


































