Pemain-pemain Newcastle United meraikan kemenangan menewaskan Manchester United 2-0 di Old Trafford.
LONDON: Manchester United menutup musim 2024 dengan menambah koleksi kekalahan keempat berturut-turut selepas tewas 2-0 kepada Newcastle di Old Trafford sekali gus meletakkan kedudukan pengendalinya Ruben Amorim dalam bahaya.
Kekalahan itu sekali gus mengukuhkan pandangan Amorim sebelum ini tentang masa depannya di kelab berkenaan boleh terjejas sekiranya masih berterusan dengan keputusan yang tidak menyenangkan pengurusan dan peminat Red Devils.
Pengendali dari Portugal itu hanya menang dua perlawanan dan United kini jauh di kedudukan ke 14 tangga liga serta hanya dipisahkan tujuh mata daripada zon penyingkiran.
Alexander Isak dan Joelinton menghukum tuan rumah seawal minit keempat dan minit ke-19 untuk mencatat kemenangan kelima berturut-turut dan mendaki ke tangga kelima liga.
United jelas bermain tanpa arah setelah kehilangan kapten pasukan, Bruno Fernandes yang digantung perlawanan akibat menerima kad kuning kedua manakala Newcastle yang menggandingkan Sandro Tonali, Bruno Guimaraes dan Joelinton di bahagian tengah terus mengasak kubu tuan rumah ketika aksi Casemiro dan Christian Eriksen tidak mengujakan.
KEPUTUSAN
Aston Villa 2-2 Brighton
Ipswich 2-0 Chelsea
Man United 0-2 Newcastle

































