Nur Hafeeza Adriana Rizuwan,14, ditemukan selamat kira-kira pukul 5.35 petang kelmarin di Bukit Payung, Terengganu.
MARANG: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang setelah disedari ibunya tiada di rumah mereka di Taman Safiah Murni, Bukit Payung, dekat sini ditemui selamat petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sufian Redzuan berkata Nur Hafeeza Adriana Rizuwan,14, dijumpai kira-kira pukul 5.35 petang kelmarin.
“Berdasarkan maklumat awal, remaja berkenaan telah berjaya ditemui di belakang rumah seorang kenalannya di kawasan Bukit Payung.
“Tindakan lanjut sedang diambil termasuk membawa remaja tersebut ke hospital bagi tujuan pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan
seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat ahli keluarganya di rumah mereka di Taman Safiah Murni, Bukit Payung, Marang malam Rabu.
Kehilangan Nur Hafeeza Adriana Rizuwan yang dipanggil Angah atau Feeza disedari ibunya, Umi Khalsum Saad,40, kira-kira pukul 5 pagi kelmarin setelah didapati tiada di bilik tidurnya.






























