Ruben Amorim
LONDON: Ruben Amorim mengakui dia langsung tidak mempunyai idea berapa lama diperlukan untuk menghidupkan semula Manchester United dan menyelamatkan kelab itu selepas dimalukan 2-0 oleh Wolves, satu permulaan buruk bagi mana-mana bos United hampir 100 tahun lamanya.
Menurut Utusan Malaysia, tewas 2-0 di Molineux merupakan kekalahan ketiga dan ia menjadikan Amorim pengurus pertama United tewas dalam lima atau lebih dalam 10 perlawanan di bawahnya sejak Walter Crickmer pada Januari 1932.
“Saya tidak mempunyai idea. Langsung tiada idea. Saya sedang cuba memahami berapa lama saya perlukan pada setiap hari. Pada masa ini saya kerap menonton rakaman perlawanan dan menggunakan setiap minit dalam latihan dan pada masa yang sama cuba memenangi sebanyak mungkin perlawanan. Ia sangat penting pada saat ini,” kata Amorim.
Kata pengurus dari Portugal itu, perkara penting yang perlu dilakukan sekarang adalah menyelamatkan United dengan mencipta seberapa banyak kemenangan.
Kekalahan kepada Wolves meletakkan United semakin hampir dengan zon penyingkiran sebelum menentang Newcastle.
Selepas tewas dalam saingan suku akhir Piala Liga kepada Tottenham, dan kalah di laman sendiri kepada Bournemouth, sebelum dimalukan Wolves meletakkan nasib United bertambah buruk.
“Saya perlukan masa. Saya telah katakan sebelum ini, keadaan seperti ini sudah dijangka dan kami sudah jauh ketinggalan,” ujarnya.


































